Khasiat jus lemon
Kulit putih bersih, tanpa sebarang noda yang mampu mencacatkan penampilan wajah menjadi idaman setiap wanita. Tidak kira apa latar belakang seseorang itu, semua menginginkan rupa paras sempurna.
Keinginan memiliki kulit cerah terutama di kalangan wanita di negara Asia membuatkan ramai mencuba pelbagai bahan kosmetik dan teknik supaya kelihatan menawan.
Ada yang mengeluarkan perbelanjaan besar untuk mencapai tujuan itu. Malah ada sanggup mengambil risiko memakai produk yang mempunyai bahan kimia terlarang hydroquinone, asalkan kulit mereka menjadi cerah.
Biarpun jumlah melanin dalam kulit sudah ditentukan secara genetik dan sukar untuk seseorang yang gelap bertukar menjadi putih, setiap kulit mampu kelihatan berseri-seri dan bersih dengan penjagaan serta rawatan.
Tidak perlu berhabis wang atau berhadapan risiko kulit terbakar dan rosak semata-mata mahu kelihatan cantik, sedangkan alam semula jadi sudah menyediakan penyelesaiannya di sekeliling kita.
Hampir setiap bahan semula jadi daripada keluarga tumbuh-tumbuhan mempunyai pelbagai khasiat kepada kulit dan ia tidak seharusnya dipersiakan.
Tidak perlu berada dalam kerisauan memikirkan mengenai kesan sampingan atau wang yang mengalir keluar dari poket kerana bahan semula jadi sememangnya satu anugerah tidak ternilai kepada manusia yang tahu menghargainya.
Antara bahan yang boleh digunakan tanpa mengeluarkan perbelanjaan besar untuk kelihatan cantik ialah lemon yang boleh dibeli pada harga jauh lebih murah dan lebih penting ia selamat pada tubuh.
Lemon berupaya memberikan kesan yang mampu memudarkan noda atau tanda pada kulit yang membuatkan wajah kelihatan kusam dan kurang berseri.
Selain mencerahkan kulit, jus lemon membantu untuk mengurangkan kedutan, noda hitam dan sel kulit mati pada kulit, seterusnya mendapat kulit lebih bermaya.
Lima hingga enam peratus komponen lemon ialah asid sitrik yang memberikannya rasa masam dan mampu mencerahkan kulit manakala kandungan pH yang rendah membuatkannya bersifat antibakteria.
Di negara India, lemon digunakan dengan meluas dalam perubatan tradisional Siddha dan Ayurveda bagi merawat beberapa masalah kesihatan dan kecantikan.
Ada beberapa cara yang boleh digunakan bagi mendapatkan hasil optimum daripada lemon terhadap kecantikan kulit. Antaranya, memerah jus limau nipis dan masukkan ke dalam bekas penyembur yang dicampur dengan air dalam nisbah yang sama.
Jus lemon itu kemudiannya boleh disembur pada kulit wajah bila perlu untuk kesan menyegarkan dan pada masa sama, mampu mencerahkan kulit jika dilakukan secara konsisten.
Namun pastikan jus lemon tidak terkena pada bahagian kulit yang terluka atau termasuk dalam mata kerana ia akan menyebabkan kepedihan.
Lemon yang sudah dikisar bersama kulitnya juga boleh digosok pada kulit secara membulat. Bukan saja ia dapat membersihkan kulit tetapi ia juga akan mencerahkan kulit jika sering dilakukan.
Buah itu juga boleh digunakan sebagai pencuci, pupur dan penyental kulit dengan cara mencampurkan jus lemon, air, madu dan aloe, kemudian sapukan pada wajah setiap pagi sebelum dicuci bersih.
Cara lain yang boleh digunakan adalah dengan memicitkan jus lemon pada bola kapas dan sapukan pada wajah. Biarkan selama kira-kira 30 minit sebelum dicuci dengan air.
Bagi mereka yang mahukan kulit lembut, lemon juga boleh dijadikan losen badan dengan mencampurkan dua bahagian jus lemon dan tiga bahagian glycerin. Kacau hingga rata dan sapu pada kulit.
Pupur lemon boleh dihasilkan dengan mencampurkan satu sudu makan jus lemon, satu sudu makan jus tomato, satu sudu makan jus timun dan satu sudu makan sudu makan serbuk gaharu, menjadi pes. Sapu pada kulit dan biarkan selama 15
hingga 20 minit sebelum dibilas dengan air suam.
Satu lagi cara membuat pupur adalah dengan mencampurkan satu sudu makan serbuk susu, satu sudu makan madu, satu sudu makan jus lemon dan dua titik minyak pati. Sapukan pada kulit dan biarkan selama 20 minit sebelum dicuci dengan air suam.
Bagi menghasilkan penyental kulit, campurkan dua sudu makan gula perang, putih telur dan satu sudu makan jus lemon. Sapukan pada kulit dalam gerakan membulat dan sental secara lembut. Biar pada kulit kira-kira 15 minit sebelum dicuci.
Biarpun lemon terbukti membantu untuk mencerahkan kulit wajah, ia mengambil masa lebih lama berbanding penggunaan bahan kimia.
Selain itu, elakkan terdedah lama di bawah matahari sekiranya dalam proses mencerahkan kulit menggunakan lemon kerana bukan saja lebih melambatkan proses, kulit juga mudah rosak.
Penggunaan jus lemon disarankan dilakukan selang sehari kerana penggunaan jus lemon boleh menyebabkan kulit menjadi sedikit kering jika digunakan setiap hari. Selepas rawatan menggunakan jus lemon, digalakkan memakai pelembap kulit bagi mengelakkannya kering.
Rawatan menggunakan jus lemon juga perlu dilakukan secara konsisten dan sabar bagi melihat hasilnya.
Sumber :My Metro
No comments:
Post a Comment