7 Kebaikan Bawang Putih
Untuk pengetahuan anda, bawang putih mempunyai banyak khasiat di mana ia dapat melindungi tubuh dari diserang penyakit jantung dan kanser serta menghapuskan 60 jenis kulat dan 20 jenis bakteria.
Mari ikuti kenapa bawang putih sangat baik untuk kesihatan anda.
1) Mengurangkan Kolestrol
Keinginan untuk sihat pasti menjadi idaman wanita. Dengan penggunaan bawang putih dalam masakan atau memakan bawang putih secara mentah, anda dapat menurunkan kadar kolesterol dalam badan sekiranya di ambil secara berterusan dalam jangka masa panjang. Di pasaran kini, terdapat banyak pil yang lebih mudah untuk anda makan tetapi masih mempunyai khasiat yang sama.
2) Elakkan Kanser Perut
Kesihatan adalah penting kepada pasangan dan anda dalam pengamalan diet pemakanan yang seimbang. Sekiranya anda menggunakan bawang putih, penyakit seperti kanser perut dapat dielakkan. Ini kerana, bawang putih menghalang nitrat diet daripada menjadi sel kanser.
3) Menghalang Kemerosotan Otak
Tidak semestinya tubuh badan sahaja perlu sihat, anda juga pasti menginginkan otak yang sihat dan cerdas. Tanpa otak yang sihat, anda mungkin tidak dapat membuat keputusan dengan betul dan berada dalam keadaan tenang. Oleh itu, amalkan bawang putih untuk menghalang kemerosotan otak serta membantu meningkatkan sistem ketahanan badan.
4) Awet Muda
“Oh, tidak! Garis-garis kedutan sudah mula nampak di dahi, bawah lingkaran mata, dan dagu”. Masalah ini pasti membelenggu fikiran anda apabila umur meningkat seiring masa. Terutamanya kepada wanita yang mementingkan kecantikan tubuh badan dan rupa. Usah risau, bawang putih dapat melambatkan proses penuaan anda untuk jangka masa panjang. Wajah anda akan tampak lebih muda dengan amalan yang berterusan.
5) Mengurangkan Stress
Persekitaran yang bising di tempat kerja, cuaca yang panas dan tidak menentu, masalah kewangan, masalah keluarga yang mengganggu perasaan dan pemikiran anda yang akan diakhiri dengan tekanan perasaan seperti stress. Jangan biarkan diri anda dibelenggu masalah, tenanglah dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Untuk kesan yang lebih baik, amalkanlah pemakanan bawang putih dalam masakan, kerana ia juga dapat mengurangkan tekanan yang anda alami.
6) Terhindar Serangan Jantung
Disamping mengurangkan kadar kolesterol dalam badan, khasiat bawang putih ialah untuk mencegah tubuh dari diserang penyakit jantung. Kini, serangan jantung tidak mengira peringkat umur. Kepada bakal pengantin dan pasangan pengantin baru, adalah terbaik sekiranya anda bertindak dari sekarang. Sesungguhnya, mencegah lebih baik daripada merawat.
7) Meningkatkan Selera makan
Ini adalah berita baik buat anda yang ingin menambahkan berat badan. Khasiat daripada bawang putih boleh membantu anda untuk meningkatkan selera makan. Tidak perlu ubat atau vitamin tambahan, dengan masakan yang mengandungi bawang putih, anda sudah mendapat keputusan yang diingini.
Selamat mencuba.
Sumber :karangkraf. com